Hi guys! Sorry lama tak menulis dekat blog. Agak sibuk sedikit mengurus anak-anak di rumah. Untuk post kali ni, saya akan share 7 tips lengkap merawat jerawat melalui perubahan gaya hidup yang lebih sihat.
Perubahan gaya hidup sebenarnya agak sukar untuk diamalkan. Lebih-lebih lagi jika ianya merupakan suatu yang baru dalam kehidupan anda.
Namun kaedah ini tidak boleh diabaikan kerana ianya bukan sahaja baik untuk kulit malah sangat baik untuk kesihatan anda secara menyeluruh.
Perubahan gaya hidup merupakan salah satu kaedah holistik untuk merawat jerawat. Kaedah ini ternyata membantu untuk merawat jerawat dengan mengurangkan pengeluaran sebum.
Selain itu kaedah ini mengurangkan inflamasi dan pembentukan jerawat secara semulajadi dari dalam.
So, mari kita lihat satu persatu.
7 Tips Lengkap Merawat Jerawat Melalui Perubahan Gaya Hidup
1. Minum air kosong 8 gelas sehari
Air digunakan untuk membersihkan kulit muka daripada kesan minyak dan kotoran. Ia membantu menyeimbangkan pH kulit untuk mengurangkan inflamasi dan kemerahan.
Meminum air kosong 2 liter atau 8 gelas sehari juga membantu tubuh badan anda agar sentiasa terhidrat dan ini membantu sel-sel kulit untuk berfungsi dengan lebih baik.
Air turut membantu membuang toksin berlebihan daripada tubuh badan yang boleh mempengaruhi kesihatan kulit.
Selain air kosong, minuman terbaik untuk mengurangkan jerawat adalah green tea. Kurangkan minuman manis dan minuman bergas untuk kesan yang lebih cepat.
2.Bersenam
Bersenam mempunyai banyak kebaikan kepada tubuh badan kita. Apabila kita bersenam, hormon endorfin akan dikeluarkan yang membantu memperbaiki mood dan mengurangkan stress.
Aktiviti fizikal membantu mengawal paras gula dalam darah. Paras gula yang berlebihan meningkatkan pengeluaran hormon insulin yang seterusnya meningkatkan hormon androgen.
Tak ada masa nak bersenam? Yelah kadang-kadang tu malas nak tukar baju dan keluar. Jangan risau! Sekarang ni dah ada macam-macam alat senaman yang anda boleh beli kat Shopee. Boleh lihat Step Stepper Exercise Machine ni murah sahaja tau.
3. Mengurangkan stres
Stres boleh meningkatkan paras tekanan darah, kadar degupan jantung dan tahap kolesterol. Ini seterusnya boleh menyebabkan jerawat.
Bagaiman tekanan boleh ‘muncul’ pada wajah anda? Apabila anda stress, kelenjar adrenal anda akan mula bekerja. Hormon kortisol akan dihasilkan dan seterusnya meningkatkan paras hormon lelaki iaitu hormon androgen.
Hormon ini mencetuskan kelenjar minyak pada kulit untuk menghasilkan lebih banyak minyak. Apabila terlalu berlebihan, minyak akan bercampur dengan sel kulit mati dan menyumbat liang pori kulit anda. Ini seterusnya memerangkap bakteria di dalam kulit dan mencetuskan jerawat.
Selain bersenam untuk mengurangkan stress, salah satu cara untuk mengurangkan stress adalah dengan penggunaan aromaterapi.
Menggunakan diffuser dan essential oil bukan sahaja mewangikan rumah malah ia baik untuk kesihatan mental anda. Anda boleh menggunakan essential oil seperti lavender, chamomile, vetiver, orange, dan ylang-ylang.
4. Mengamalkan pemakanan sihat
Pemakanan yang sihat bukan sahaja membantu meningkatkan kesihatan dalaman tubuh badan malah ia akan turut mempengaruhi kesihatan kulit.
Makanan tertentu boleh membantu merawat jerawat. Cara terbaik untuk mengetahui makanan apakah yang membantu kulit anda ialah dengan membuat catatan diari tentang makanan apa yang boleh memberi reaksi terhadap kulit anda.
Antara tips pemakanan yang anda boleh amalkan untuk mengurangkan pembentukan jerawat ialah:
- Kurangkan makanan yang tinggi gula, makanan proses, makanan tenusu, karbohidrat dan alkohol.
- Kurangkan makan daging merah seperti daging lembu dan kerbau untuk mengurangkan penghasilan hormon testosteron.
- Memakan makanan yang kaya dengan asid lemak omega 3 seperti ikan salmon,sardin, tuna, dan kekacang walnut, almond serta bijian seperti chia seeds dan flax seeds.
- Makan lebih banyak sayur-sayuran seperti salad dan buah-buahan seperti epal untuk kulit lebih cantik.
5. Menjaga kebersihan
Salah satu tips yang penting ialah menjaga kebersihan kulit anda. Pastikan anda mencuci muka sekurang-kurangnya 2 kali sehari dengan menggunakan pencuci muka yang lembut sesuai dengan kulit berminyak dan berjerawat.
Elakkan tidur dengan makeup masih melekat pada wajah. Selain itu, selalulah bersihkan cadar, sarung bantal, tuala dan pakaian yang digunakan untuk mengelakkan bakteria merebak ke atas kulit.
Bagi lelaki, mencukur juga membantu menghilangkan sel kulit mati dan ini membantu mengelakkan pori-pori kulit tersumbat.
Untuk kawasan kulit yang sensitif dan mudah mengalami keradangan, dinasihatkan menggunakan krim pencukur untuk kulit sensitif.
6. Mengurangkan pendedahan kepada matahari terik dan cuaca terlalu sejuk
Perubahan cuaca juga boleh mempengaruhi kulit anda. Matahari sebenarnya membantu membunuh bakteria, tapi dalam masa yang sama matahari juga boleh mengeringkan kulit atau membuatkan kulit menjadi lebih berminyak.
Maka anda perlu mengurangkan masa untuk berada diluar terlalu lama. Anda boleh berada diluar pada waktu pagi untuk mendapatkan vitamin D secara semulajadi antara 10-15 minit.
Elakkan berjemur terlalu lama pada waktu tengari untuk mengelakkan sunburn.
Sinar UV boleh merosakkan lapisan perlindungan semulajadi kulit dan boleh membawa kepada kanser kulit dan penuaan pramatang.
Anda boleh menggunakan sunscreen sekurang-kurangnya SPF 15 atau lebih tinggi daripada itu. Gunakan kaca mata yang mempunyai lapisan perlindungan UV.
Ada juga payung yang mempunyai lapisan perlindungan UV. Harga pun taklah mahal sangat.
Kulit yang sering terdedah dengan cahaya matahari juga kerap menggantikan sel kulit mati. Apabila bercampur dengan minyak berlebihan ia akan meningkatkan pembentukan blackhead dan whitehead.
Selain itu, cuaca yang terlalu sejuk atau penggunaan alat penghawa dingin yang kerap boleh mengeringkan kulit. Kulit kering juga boleh terdedah dengan pembentukan jerawat.
7. Dapatkan rehat dan tidur yang cukup.
Mendapat tidur yang cukup antara 6-8 jam adalah sangat digalakkan. Apabila anda tidur, tubuh badan akan mengurangkan pembentukan hormon kortisol dan hormon tumbesaran meningkat.
Keadaan ini membantu memperbaiki struktur kulit dan mengurangkan jerawat. Kulit membentuk kolagen ketika tidur. Ini memmbantu kulit agar lebih sihat dan lebih lembap secara semulajadi.
Perubahan gaya hidup ini bukan sahaja sesuai untuk kulit berjerawat, malah ia juga sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah kulit sensitif seperti ekzema.
Jadi itulah 7 tips lengkap merawat jerawat melalui perubahan gaya hidup. Kaedah mengubah gaya hidup untuk merawat kulit bermasalah bukan saja efektif malah tiada kesan sampingan seperti kaedah rawatan konvensional yang mungkin tidak sesuai dengan keadaan kulit seseorang.
Untuk tips tambahan saya ada senaraikan 20 tips untuk mendapatkan kulit muka glowing dan flawless di sini.
Kita jumpa lagi di post yang akan datang. Jika anda suka dengan post ini, jangan lupa share dengan kawan-kawan ya. Semoga bermanfaat!